Menggambar

30 04 2010

Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi dan kemahiran serta kemampuan murid terhadap aspek melukis serta kegiatan membuat gambar dengan pelbagai media dan teknik yang menekankan aspek ruang, struktur, imbangan dan komposisi. Antara kegiatan dalam bidang ini ialah:

1. Lukisan
2. Catan
3. Kolaj
4. Montaj
5. Cetakan
6. Resis
7. Gosokan
8. Stensilan
9. Percikan
10. Gurisan
11. Capan
12. Mozek
13. Poster

Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri. Kegiatan menggambar merangkumi penerokaan kesan seni serta mengenali pelbagai alat, bahan dan kegunaannya. Kegiatan menggambar akan memperkenalkan pelbagai kemahiran asas dan teknik dalam proses rekaan. Kesedaran melalui pemerhatian alam persekitaran menjadi fokus kegiatan menggambar. Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual murid dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya. Ini akan membolehkan murid menyelaras apa yang dilihat dan dialami dengan apa yang dilakukan melalui gubahan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pernyataan, puisi,lakonan, nyanyian dan cerita.





Kandungan Sukatan

30 04 2010

Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun dalam empat bidang kegiatan iaitu:

1. Menggambar
2. Membuat Corak dan Rekaan
3. Membentuk dan Membuat Binaan
4. Mengenal Kraf Tradisional

Setiap bidang ini menekankan keempat-empat aspek iaitu pemerhatian secara aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan, apresiasi seni visual serta menghargai nilai baik. Pengajaran akan dilakukan secara bersepadu.





Organisasi Kurikulum

28 03 2010

Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif.

Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual.

Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual.

Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.

Organisasi kurikulum ini merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu:

  • Pemerhatian secara aktif
  • Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
  • Apresiasi seni visual secara mudah
  • Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan

Pemerhatian secara aktif
Merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental. Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.

Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
Peringkat ini menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni di masa akan datang.

Apresiasi seni visual secara mudah
Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pendidikan seni visual sekolah rendah.

Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan
Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua keadaan.





Matlamat & Objektif

28 03 2010

Matlamat

Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Objektif

Setelah mengikuti Kurikulum Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah
murid boleh:

  • Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan
  • Melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan meyeronokkan
  • Menajamkan daya persepsi dan imaginasi melalui pancaindera
  • Mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya
  • Mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual
  • Membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat
  • Memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan bertanggungjawab
  • Mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air,
  • Menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual
  • Melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah




Pendidikan Seni Visual (KBSR)

28 03 2010

Pendahuluan
Pendidikan Seni Visual menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri.

Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain.

Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifatsifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.

Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran befikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri.

Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonel dan intrapersonel. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna.





Maksud Seni

28 03 2010

“Seni bermaksud kecil sekali, halus, molek atau elok, kecekapan atau kepandaian membuat sesuatu yang indah-indah” – Kamus Pelajar Bahasa Malaysia. “Art: the creation or expression of what is beautiful, especially in visual form: great skill or ability in such expression.

Seni adalah suatu ciptaan atau ekspresi terhadap sesuatu yang dianggap indah. Memenuhi keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi keperluan-keperluan naluri keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan tertentu.

Seni berperanan yang bersifat psikologi dan sosiologi dan mempunyai hudungan dengan seni visual, seni muzik, seni tari dan lain-lain. Manusia melahirkan sesebuah hasil seni melalui perasaan, pengalaman dan rangsangan dan dilahirkan  melalui seni.








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.